Wednesday, July 28, 2010

Permaisuri Karot



"Siapakah nama kamu?" tanya Permaisuri Karot.

"Nama saya Aladani," jawab Aladani sambil tunduk memandang ke lantai. Sekarang dia berada di dalam istana Permaisuri Karot.

Permaisuri Karot bukan seekor arnab. Dia seorang manusia. Cantik dan anggun. Dia memakai baju cantik warna kuning karot. Gaunnya pula ada campuran warna kuning, merah, kuning dan biru. Dia memakai mahkota yang berbentuk karot. Memang sangat sesuai dengan namanya.

Hanya ada satu sahaja yang agak pelik. Permaisuri Karot tidak menunjukkan rambutnya, dan dia menutup mukanya. Hanya matanya sahaja yang dapat dilihat. Namun begitu, dia kelihatan sangat cantik dan indah.

Permaisuri Karot merenung mata Aladani dan dia pun berkata, "Kenapakah kamu menceroboh ke dalam Bandar Karot beta?"

"Ampun Tuanku beribu ampun, sembah saya harap di ampun. Saya tiada berniat langsung hendak menceroboh Bandar Karot Tuanku," kata ALadani.

"Kalau bukan menceroboh, bagaimana kamu boleh berada di sini?" tanya Permaisuri Karot.

"Saya terjatuh ke sini," jawab Aladani.

"Terjatuh? Kamu terjatuh daripada Negeri Atas Sana?" kata Permaisuri Karot terkejut.

Aladani juga tidak faham kenapaka Belfigar disebut Negeri Atas Sana. Tetapi, dia berpura-pura memahaminya. Lalu dia berkata, "Benar Tuan Permaisuri Yang Bijaksana. Saya terjatuh daripada Negeri Atas Sana dan masuk ke dalam Negeri Bawah Sini."

"Bukan Negeri Bawah Sini, tetapi Negeri Bawah Sana," kata Permaisuri Karot membetulkan Aladani. "Kalau begitu, kamu tidak boleh pulang lagi ke Negeri Atas Sana."

"Kenapakah begitu Tuan Permaisuri?" tanya Aladani lagi."Adakah saya akan tinggal di Negeri Bawah Sana untuk selama-lamanya?"

"Begitulah nampaknya," kata Permaisuri Karot lagi. "Kecuali...."

"Kecuali apakah, Yang Mulia?' tanya Aladani.

"Kecuali kamu dapat meneka Pintu Gantung ke Negeri Atas Sana," jawab Permaisuri Karot.

"Pintu Gantung?" tanya Aladani. "Pintu apakah itu?"

Belum pun sempat dia hendak bertanya lagi, dia telah diseret menuju ke puncak Istana Karot. Dia telah di bawa ke dalam sebuah bilik yang sangat besar. Di dalamnya terdapat banyak pintu-pintu yang tergantung di udara. Terdapat lebih kurang seratus buah pintu semuanya.

"Baiklah Aldani," kata Permaisuri Karot.

"Maafkan saya, Yang Mulia," kata Aladani. "Bukan Aldani, tetapi Aladani."

"Oh, maafkan saya. Baiklah Aladani, sekarang pilihlah mana-mana pintu yang kamu rasa Pintu Gantung ke Negeri Atas Sana. Kamu hanya diberi peluang sebanyak TUJUH kali sahaja. Saya ulangi, TUJUH kali sahaja," kata Permaisuri Karot.

"Bagaimana kalau ketujuh-tujuh pilihan saya itu salah?" tanya ALadani.

"Senang sahaja, kamu tidak dapat pulang ke Atas Sana dan kamu akan bekerja mencabut karot-karot untuk saya," kata Permaisuri Karot. "Untuk selama-lamanya. Hahaha"

Kemudian Permaisuri Karot berlalu pergi, bersama-sama dengan bunyi desiran sutera kuning karotnya yang mahal. Ketika itu hanya tinggal Aladani seorang diri. Dia sedang berfikir, Pintu Gantung manakah yang akan dipilihnya. Dia hanya ada peluang sebanyak tujuh kali sahaja. Kalau dia tersilap, dia akan tinggal di Bawah Sini selama-lamanya. Kasihan Aladani.

Tiba-tiba, dia dicuit oleh sesuatu. Dia menoleh dan melihat seekor arnab sedang tersenyum.

"Bukankah kamu arnab yang saya temui di Atas Sana?" tanya Aladani.

"Benar,sayalah arnab itu. Nama saya Pokoko," kata Pokopo."Cepat pilih pintu-pintu itu sebelum Permaisuri Karot mengubah fikirannya."

Aladani tidak sempat berfikir panjang. Dia terus memilih satu pintu dan membukanya. Tetapi malangnya Pintu Pertama itu bukan Pintu Atas Sana. Itu ialah Pintu Istana Agar-Agar. Apa hendak dikata, sudah nasib badannya. Dia tidak boleh keluar kerana Pintu Gantung sudah hilang. Dia mesti mencari Pintu Keluar.

Malangnya, Pintu Keluar bukanlah senang hendak dicari.

Tuesday, July 27, 2010

Istana Permaisuri Karot




Memang benar sekali. Aladani telah jatuh ke Bandar Karot. Dia telah terjatuh ke dalam sebuah stor yang menyimpan karot warna-warni. Aladani bangun dan keluar daripada stor itu.

Tetapi, nasibnya sangat malang. Dia telah dikepung oleh sekumpulan arnab yang memakai baju biru putih. Mereka memegang lembing yang sangat tajam.

"Kamu telah menceroboh ke Bandar Karot," kata salah seekor arnab itu. "Kamu akan dibawa bertemu dengan Permaisuri Karot."

"Saya tidak bersalah! Saya tidak bersalah!" jerit Aladani. Malangnya, jeritannya tidak diendahkan. Mereka terus membawa Aladani ke Istana Permaisuri Karot. Mereka mengikat Aladani dan menghumbannya ke dalam Kereta Labu.



Aladani merasa ketakutan. Tetapi, dia sudah terlambat. Sekarang dia terpaksa bertemu dengan Permaisuri Karot. Kereta Labu itu bergerak dengan cepat merentasi padang-padang rumput dan kebun-kebun karot. Kemudian, Kereta Labu itu bergerak ke kiri dan mereka mendaki sebuah lereng bukit. Di tepi-tepi lereng, ada rumah-rumah lama yang cantik.

Setelah beberapa lama bergerak, akhirnya Kereta Labu itu berhenti. Aladani mengintai keluar. DI hadapannya terdapat sebuah istana yang sangat besar dan cantik. Istana itu ialah sebuah istana yang berbentuk karot.

"Cepat turun! Saya akan bawa kamu bertemu dengan Permaisuri Karot. Aladani berjalan perlahan-lahan menaiki tangga Istana Karot. Tangganya seperti karot yang telah dipotong. Ada bermacam-macam jenis warna karot.

Pengembaraan Di Dalam Telaga Tua



Ini kisah seorang anak kecil yang bernama Aladani. Dia tinggal di sebuah kampung di hujung sebuah pekan kecil. Kampung itu bernama Kampung Daun Merah Tinggal Sehelai. Aladani tinggal bersama dengan datuk, nenek, ayah dan ibu. Datuk dan neneknya sudah tua. Mereka tidak dapat bekerja lagi. Hanya ayah Adalani, Encik Rotiman, sahaja yang bekerja. Ibu Adalani, Puan Milah pula seorang suri rumah. Ayah Adalani menjual roti di pekan Berlanfigar. Mereka hidup bahagia walaupun perniagaan roti Encik Rotiman tidaklah begitu maju.

Aladani seorang anak kecil yang suka bermain dengan arnab. Setiap hari dia akan menghabiskan masanya bermain dengan arnab. Encik Rotiman selalu menasihatinya agar tidak bermain jauh dari rumah mereka. Tetapi, pada suatu hari Adalani terlupa nasihat ayahnya. Dia telah berjalan jauh dari rumahnya. Dia ternampak seekor arnab yang pelik. Arnab itu membawa sebatang karot yang berwarna biru. Aladani tidak pernah melihat karot biru sebelum ini. Inilah kali pertama dia melihat karot biru.

"Ajaib! Saya tidak pernah lihat karot biru sebelum ini," kata Aladani kepada dirinya.
"Ibu saya tidak pernah menanam karot biru. Dari manakah arnab itu mengambil karot biru?"

Lalu, Aladani mengekori arnab itu. Arnab itu tidak tahu dia telah diekori. Sebaik sahaja sampai di suatu tempat, arnab itu berhenti. Aladani pun bersembunyi di sebalik sebatang pokok.

"Apakah yang arnab itu sedang buat?" tanya Aladani kepada dirinya.

Kemudian, Aladani semakin terkejut. Arnab itu mengeluarkan seguni karot yang berwarna warni dari sebuah lubang. Ada karot biru, karot ungu, karot hijau, karot kuning, karot merah jambu, karot hitam, karot putih dan macam-macam lagi. Aladani menjadi semakin pelik.

Tiba-tiba Aladani terbersin. Arnab itu terkejut mendengar Aladani bersin. Lalu, arnab itu cepat-cepat mengangkat guni karotnya dan melompat masuk ke dalam lubang itu. Aladani melompat keluar dari semak dan berlari ke arah lubang itu.

"Lubang apakah ini?" tanya Aladani kepada dirinya."Agak-agaknya apakah yang ada di dalam lubang ini?"

Aladani berfikir beberapa kali dan akhirnya dia membuat keputusan. "Saya tidak boleh masuk ke dalam lubang ini. Lagipun, mungkin ini lubang ular," kata Aladani kepada dirinya.

Dia pun bangun untuk pulang. Tetapi, nasib Aladani tidak baik. Rupa-rupanya pasir-pasir di situ ialah pasir jerlus. Lubang kecil tadi terbuka menjadi besar. Aladani tidak dapat menahan kakinya. Lalu, dia ditarik masuk ke dalam lubang itu.

"Di manakah saya?" jerit Aladani. Tetapi tiada siapa yang mendengar jeritannya. Dia terus terjatuh ke dalam lubang yang dalam. Licin dan berlumut. Tetapi tiada akar utuk dia berpaut. Dia terus menggelonsor turun ke bawah. Dia dapat merasakan seperti berada di dalam gelongsor lumut.

Tetapi, semakin lama, dia merasa semakin seronok. Sekali-sekala dia akan menggelongsor di dalam air. Sekarang dia dapat merasakan seolah-olah dia berada di dalam Gelongsor Air. Aladani sudah mula melupakan rumahnya. Dia mula merasa seronok berada di dalam gelonsor itu.

Tetapi, tidak lama kemudian, dia merasakan tubuhnya menggelongsor perlahan. Perlahan dan perlahan. Tiba-tiba dia terjatuh di atas satu timbunan karot-karot yang berwarna-warni. Ada terlalu banyak karot-karot yang berwarna-warni sehinggakan dia tenggelam di dalam timbunan karot.

Aladani cuba untuk bangun dan dia melihat sekelilingnya. Dia tidak tahu di manakah dia berada. Di sekelilinya ada banyak karot. Adakah ini yang dinamakan Bandar Karot?


bersambung

Thursday, July 22, 2010

Selamat Datang

Asslamualaikum,

Terlebih dahulu, abang Aliff ucapkan terima kasih untuk adik-adik yang telah membaca cerita-cerita karangan Abang Aliff.

Abang Aliff berharap, adik-adik semua terhibur.